Peguam syarie adalah pengamal syariah yang mewakili kliennya di mahkamah syariah dan mempunyai kelayakan tertentu dan proses tertentu sebelum bergelar peguam syarie. Keistimewaannya yang tiada kepada orang biasa adalah bercakap di hadapan hakim syarie di dalam mahkamah selain polis dan jurubahasa mahkamah.
Peguam syarie diberi pelbagai gelaran antaranya pengamal syariah, peguam syariah, peguam ‘kepochi’, perunding keluarga, perunding pusaka, peguam nikah kawin, peguam poligami dan bermacam lagi. Hakikatnya nama peguam syarie termaktub di dalam akta dan enakmen Pentadbiran dan Kaedah peguam syarie negeri-negeri.
Kelayakan untuk menjadi peguam syarie antaranya ijazah dalam “syariah”. Ini adalah syarat utama selain peguambela peguamcara yang didaftarkan dibawah Akta Profesion Guaman 1976.
Terdapat pertanyaan adakah boleh selain dari syariah undang-undang memohon untuk menjadi peguam syarie? Jawapan saya mudah, ‘boleh’. Merujuk kepada kaedah-kaedah peguam syarie negeri-negeri mensyaratkan syariah sebagai syarat kelayakan. Terdapat beberapa peguam syarie di firma saya adalah syariah ekonomi, astronomi, fiqh fatwa, usul fiqh dan muamalat telah memiliki sijil beramal sebagai peguam syarie.
Peguam syarie adalah kerjaya alternatif selain dari kerjaya pegawai syariah, pegawai tadbir diplomatik, pegawai hal ehwal islam dan lain-lain lagi. Namun perlukan keberanian, hati yang kental dan kesabaran yang tinggi untuk berada di dalam bidang ini.
Antara cabaran utama adalah peluang. Peluang menempatkan diri di firma-firma guaman yang mengendalikan kes-kes melibatkan mahkamah syariah. Saya mengakui ketika awal penglibatan saya dalam kerjaya ini peluang amat sukar untuk menempatkan diri di firma-firma guaman. Amat kurang sekali firma guaman syarie pada ketika itu boleh di bilang dengan jari. Pernah saya menghantar surat memohon untuk latihan dalam kamar di 150 buah firma guaman termasuk syariah setiap dua bulan sekali namun gagal. Kegagalan bukan alasan untuk berputus asa. Mungkin bukan rezeki dan pastinya rezeki tidak pernah salah alamat.
Sehingga hari ini cabaran sedemikian masih sama saya rasakan. Akibatnya para graduan ini menukar bidang. Hatta lawak sinis sahabat saya Tuan Hamdi Ishak seorang peguam syarie yang beramal di negeri Kedah terhadap pelatih menyatakan sehingga dapat jawatan sebagai pegawai penjara pun graduan ini akan pergi meninggalkan kerjaya ini. Sebelum ini terdapat KPLI J-Qaf dan hari ini guru interim. Saya akui bukan senang untuk melatih seseorang menjadi peguam syarie. Kebanyakan graduan syariah sejak melangkah kaki hari pertama di universiti adalah untuk menjadi ustaz atau ustazah atau menanam impian sebagai penjawat awam. Saya juga seperti graduan-graduan ini.
Seawal penubuhan mahkamah syariah tahun 1990-an dahulu kebanyakan graduan memenuhi pasaran kerja di sektor awam. Terdapat segelintir yang menjadi peguam syarie. Antaranya Dato Jamal Lokman dan Dato Zaidi Zain. Mereka ini antara perintis dan graduan syariah yang berjaya menjadi peguam syarie sehingga hari ini. Semasa pengajian saya di UKM saya juga mengikuti perkembangan semasa terhadap kedua ikon peguam syarie ini. Kemungkinan saya lebih didedahkan untuk menjadi pegawai syariah, hakim syarie, peguam jabatan bantuan guaman dan pendakwa syarie. Sehingga tamat pengajian saya tidak arif dan mengetahui peguam syarie ini.
Berbeza hari ini peguam-peguam syarie di bawa masuk ke universiti misalnya dalam seminar road to be a syariah lawyer di UKM tahun 2016, halatuju kerjaya syariah di Unishams 2017, USIM 2017 dan di Kuipsas 2019 saya melihat ratusan peserta hadir. Hasilnya saya telah lihat hari ini. Paling mengembirakan saya apabila menerima teguran di mahkamah dari peguam syarie dan pelatih peguam syarie yang hadir ke seminar ini telah berjaya mendapat sijil peguam syarie dan beramal.
Saya juga telah melihat kesungguhan Kolej Universiti Islam Selangor KUIS secara berterusan mendedahkan pelajarnya sejak dari tahun satu dengan kerjaya peguam syarie. Kesannya bekas pelajar KUIS memenuhi pasaran kerjaya ini dan KUIS terkehadapan. Kuis di mana-mana. Wajar dicontohi oleh universiti-universiti yang lain.
Konsep kejayaan KUIS ini dapat saya simpulkan bermula dari hari pertama pelajar melangkah ke universiti dan pensyarah-penyarahnya juga ada yang telah beramal dan bergelar peguam syarie sedikit sebanyak membantu memberi kefahaman kepada pelajar berkaitan kerjaya yang istimewa ini.
Pelajar seharusnya didedahkan dengan kerjaya ini sepertimana fakulti undang-undang di setiap universiti mempersiapkan graduannya untuk menjadi peguambela & peguamcara. Pendedahan awal perlu supaya apabila tamat pengajian halatuju kerjaya tersebut menjadi lancar.
Dari kajian saya terhadap pelajar syariah hampir 99% memohon untuk menjadi pelatih disebabkan tidak mendapat kerja di sektor awam. Tambahan lagi selepas tamat pengajian baru tahu boleh jadi peguam syarie. Misalnya pelajar dari syariah ekonomi, muamalat, politik, astronomi, usul fiqh tidak tahu mereka boleh menjadi peguam syarie asalnya nama ijazah itu terdapat ayat syariah.
Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi pelatih tiada had tempoh latihan untuk bergelar peguam syarie. Terdapat pelatih yang perlu menunggu sehingga hampir 5 tahun baru mendapat sijil peguam syarienya. Ada baru 7 hari memohon terus ditauliah sebagai peguam syarie. Ada juga berkali-kali gagal dalam temuduga dan peperiksaan peguam syarie. Perkara ini membuatkan pelatih-pelatih ini bertukar arah. Seolah ijazah yang diberi universiti-universiti tidak laku akibat temuduga tidak sampai 30 minit atau peperiksaan yang tidak sampai 3 jam gagal.
Setiap negeri berbeza cara permohonan , temuduga dan peperiksaannya. Bagi yang mendapat sijil ini selalu saya berpesan janganlah dibungkus nasi lemak sijil tersebut. Beramallah kerana terdapat ramai lagi diluar sana masih gagal memperolehi sijil peguam syarie yang amat istimewa ini.
Berbeza dengan peguambela dan pegumcara selepas tamat pengajian terus memohon latihan dalam kamar selamat 9 bulan dan selepas tamat didaftar raikan sebagai peguambela & peguamcara serta boleh beramal seluruh Malaysia. Mudah bukan. Dan berperaturan.
Usaha untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie seperti mana Bar Council telah digerakkan sejak tahun 2001 melalui Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang diketuai oleh arwah Tuan Haji Muhammad Buruk pada ketika itu bertujuan untuk mengawalselia peguam syarie dengan lebih tersusun dan teratur. Usaha ini tanpa berlarutan sehingga kehari ini untuk kemudahan generasi dan legasi akan datang.
Saya mendapat maklumat dari media dan akhbar tempatan bahawa bulan Mac 2019 akta ini akan dibentangkan di parlimen selepas 19 tahun berusaha dan kesannya terhadap Wilayah Persekutuan sahaja. Akta ini akan menjadi panduan kepada negeri-negeri lain membentuk Enakmen untuk diluluskan di peringkat dewan undangan negeri. Semoga usaha ini berhasil.
No comments:
Post a Comment